Jordan Tidak Lanjut Hak Israel Guna Tanah

2018-10-22 16:29:51  CRI
Share with:

Raja Jordan, Abdullah II  dalam akaun Twitter rasminya semalam menyatakan Jordan akan memansuhkan sebahagian butiran perjanjian damai yang ditandatangani dengan Israel pada 1994.

Menurut perjanjian tersebut, Jordan membenarkan Israel menyewa dua kawasan, iaitu Baqoura yang terletak di barat laut Jordan dan Ghumar di selatan Laut Mati. Kedua-dua kawasan itu kekal di bawah kedaulatan Jordan, namun boleh digunakan oleh Isreal. Selain itu, warga Israel bebas untuk keluar masuk, tidak tertakluk kepada undang-undang dan peraturan kastam atau imigresen Jordan.

Perjanjian itu memperuntukkan tempoh pelaksanaan fasal berkenaan hingga 25 Oktober tahun ini, bergantung pada keputusan pihak Jordan sama ada dilanjutkan atau tidak.

Raja Abdullah berkata, demi kepentingan rakyat Jordan, pihaknya memutuskan untuk tidak melanjutkan fasal tersebut, sekali gus menamatkan hak Israel untuk menggunakan dua kawasan berkenaan.

Dilaporkan, beberapa tunjuk perasaan berlaku di Jordan baru-baru ini, bagi menuntut kerajaan memansuhkan peruntukan terbabit.

胡星