Xi Jinping Ditemui Wakil Perdagangan dan Setiausaha Perbendaharaan AS

2019-02-15 19:42:06  CRI
Share with:

圖片默認標題_fororder_1124121396_15502291636431n

Presiden China, Xi Jinping bertemu dengan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat (AS), Robert Lighthizer dan Setiausaha Perbendaharaan Steven Mnuchin, yang berada di Beijing untuk menghadiri pusingan baharu rundingan ekonomi dan perdagangan peringkat tinggi China-AS, di Dewan Besar Rakyat petang tadi.

Xi berharap kedua-dua pihak mengikuti prinsip dan arah yang ditetapkan oleh pemimpin kedua-dua negara, meningkatkan komunikasi, memfokuskan kerjasama dan mengawal percanggahan pendapat agar mendorong kerjasama ekonomi dan perdagangan serta hubungan kedua-dua negara berkembangn dengan sihat.

Beliau terlebih dahulu mengucapkan selamat datang kepada rombongan AS yang diketuai Lighthizer dan Mnuchin, selain merakamkan terima kasih kepada kumpulan kedua-dua negara yang mencapai hasil penting dalam rundingan selama dua hari ini.

Menurut Xi, hubungan antara China dengan AS antara hubungan bilateral yang paling penting di dunia pada masa ini. Kedua-dua negara mempunyai kepentingan bersama yang meluas di samping menggalas tanggungjawab yang penting dalam memelihara kedamaian dan kestabilan dunia, serta mendorong pembangunan dan kemakmuran global. China dan AS memelihara perkembangan hubungan yang sihat bukan sahaja selaras dengan kepentingan rakyat kedua-dua negara, malah harapan umum masyarakat antarabangsa.

Xi mengatakan, beliau telah mencapai konsensus penting dengan Presiden Donald Trump sempena pertemuan di Argentina pada Disember lalu, iaitu bersama-sama mengembangkan hubungan China-AS yang stabil, kerjasama dan terselaras. Hubungan ekonomi dan perdagangan patut dikembangkan mengikut konsensus tersebut.

Xi menambah, kumpulan ekonomi dan perdagangan kedua-dua negara telah mengadakan perbincangan yang intensif dan baik sejak Disember lalu.

“Seperti yang saya tegaskan beberapa kali bahawa China dan AS saling bergantung. Kerjasama akan membawa keuntungan bersama, manakala konfrontasi akan mendatangkan kerugian bersama. Kerjasama ialah pilihan yang paling bijak.”

Xi berharap perjanjian yang saling menguntungkan dapat dicapai sempena rundingan di Washington minggu depan.

Lighthizer dan Mnuchin terlebih dahulu menyampaikan mogaan baik daripada Presiden Trump kepada Xi.

Menurut mereka, hubungan ekonomi dan perdagangan antara AS dengan China amat signifikan. Rundingan dalam dua hari ini berjalan lancar dan mencapai kemajuan baharu dalam beberapa masalah utama. Walaupun masih berdepan kesukaran, pihaknya mempunyai keyakinan untuk mengatasinya.

Mereka menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kumpulan China sehingga mencapai perjanjian yang selaras dengan kepentingan kedua-dua negara.

 

 

王瑾