Lima Langkah Baharu Tingkat Keterbukaan

2019-04-27 14:46:06  CRI
Share with:

Presiden Xi Jinping menyampaikan ucaptama bertajuk "Cipta Masa Depan Gemilang Jalur dan Laluan" pada majlis perasmian Forum Kemuncak Kerjasama Antarabangsa Jalur dan Laluan kedua di Beijing pagi semalam. 

Beliau menyatakan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) yang sejajar dengan strategi pembangunan pelbagai negara, membawa peluang baharu bagi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan dunia, sekali gus menyingkap dimensi baharu keterbukaan China.

Tiga perkara ditekankan Xi untuk menggerakkan BRI mengikut hala tuju pembangunan berkualiti iaitu prinsip berunding bersama, membangun bersama dan berkongsi; konsep terbuka, hijau dan integriti; serta matlamat mampan berstandard tinggi demi kesejahteraan rakyat.

Beliau turut mengumumkan lima langkah baharu bagi mempertingkat tahap keterbukaan pada fasa seterusnya.

Pertama, meluaskan akses pasaran modal asing dan meningkatkan keterbukaan sektor perkhidmatan moden, pembuatan dan pertanian secara menyeluruh.

Kedua, memperkasakan kerjasama antarabangsa dalam perlindungan harta intelek.

Ketiga, menggalakkan pengimportan komoditi dan perkhidmatan dengan tarif lebih rendah.

Keempat, meningkatkan koordinasi dasar ekonomi makro dengan entiti ekonomi utama dunia, sambil menyertai secara aktif pembaharuan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Akhir sekali ialah memastikan perjanjian kerjasama ekonomi dan perdagangan dengan pelbagai negara dilaksanakan sepenuhnya, di samping mengubah suai undang-undang dan peraturan yang berkaitan agar bersesuaian dengan dasar keterbukaan.

張哲