AS Semakin Jauh Tempuh Jalan Sesat

2020-02-28 14:18:13  CRI
Share with:
Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo mengatakan khabar mengenai kehancuran perikatan rentas Atlantik telah dibesar-besarkan.

Semasa Persidangan Keselamatan Munich baru-baru ini, Pompeo mendakwa dunia Barat sedang mencapai "kemenangan bersama”.

Namun, seperti yang diulas akhbar “The Guardian” dalam artikelnya, ujaran Pompeo itu jauh sekali daripada kenyataan, kerana AS dan Britain bukan sahaja tidak mencapai “kemenangan bersama” yang disebut-sebut, sebaliknya wujud percanggahan antara kedua-dua negara.

Dengan mengambil contoh daripada pendirian berbeza antara Britain dan AS terhadap teknologi 5G syarikat Huawei, serta pembatalan pertemuan pemimpin yang dijadualkan pada awal bulan Mac, artikel itu mendakwa Washington bukan sahaja meletakkan rintangan terhadap industri berteknologi tinggi China, tetapi juga berniat merampas kepentingan negara lain.

Gara-gara dasar “utamakan AS”, negara itu bermain percaturan tarif dengan satu demi satu rakan dagangnya di Eropah.

Dalam aspek politik, Washington terus "meruntuhkan" Kesatuan Eropah (EU) dan cuba merapatkan hubungan dengan negara-negara Eropah Tengah dan Timur. Ini boleh dilihat daripada percubaannya untuk melunturkan kewibawaan EU dalam penggubalan peraturan tentang pengimportan sumber tenaga.

Dalam bidang keselamatan pula, AS mengundurkan diri daripada Perjanjian Kuasa Nuklear Jarak Sederhana (INF) tanpa mempedulikan kepentingan Eropah.

Di mata Washington, seluruh dunia sedang mengambil kesempatan terhadap AS. Sesetengah politikusnya terperangkap dalam jerat keangkuhan dan rasa megah diri, membawa negara mereka menempuh semakin jauh di jalan yang sesat.
 
張弘