China dan Mongolia, Berat Sama Dipikul

2020-02-28 12:07:46  CRI
Share with:

圖片默認標題_fororder_1125635659_15828091742731n

Presiden China, Xi Jinping bertemu dengan rakan sejawatnya dari Mongolia, Khaltmaa Battulga di Beijing semalam.

Xi menyatakan, Battulga pemimpin asing pertama yang mengatur lawatan ke China sejak wabak koronavirus baharu (COVID-19) tercetus. Kunjungan yang dibuat khusus untuk menyampaikan rasa simpati dan sokongan, memperlihatkan betapa hubungan bilateral kedua-dua negara dan persahabatan sesama rakyat dipentingkan, juga mencerminkan ikatan negara berjiran yang “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing”.

China akan terus memperkukuh kerjasama dengan negara-negara lain termasuk Mongolia untuk mengatasi wabak serta memelihara kesihatan awam serantau dan global.Battulga menyatakan rasa kagum dan penghargaan atas usaha pihak China yang telah membuahkan hasil ketara.

Katanya, selaku rakan strategik komprehensif, Mongolia turut merasai penderitaan yang dialami China dan bersedia berganding bahu untuk mengharungi masa sukar ini.

Kempen mengutip derma yang dilancarkan di serata Mongolia telah mendapat sahutan positif masyarakat tempatan. Selain sumbangan yang telah dihulurkan sebelum ini, negara itu juga sedia menyumbang 30 ribu ekor kambing lagi kepada China.

Beliau percaya, di bawah pimpinan Presiden Xi, rakyat China pasti mampu mengatasi wabak dengan secepat mungkin dan mencapai matlamat pembangunan sosioekonomi.

Tambah beliau, Mongolia bersedia memperdalam rasa saling percaya dalam politik dan saling menyokong dengan China sambil menggalakkan kerjasama dalam pelbagai bidang untuk membawa kemajuan lebih besar dalam hubungan bilateral.

張弘