Kerjasama, Kunci Kalahkan Wabak

2020-03-31 14:26:40  CRI
Share with:

Penularan wabak COVID-19 telah menyerlahkan satu contoh yang baik bagi perpaduan seluruh dunia apabila masyarakat antarabangsa berkongsi sumber, maklumat dan pengalaman antara satu sama lain, malah menjalankan pengajian bersama untuk menemukan cara lebih efektif bagi membendung pandemik itu. Solidariti dan kerjasama juga diberi penekanan oleh jurnal perubatan The Lancet dalam rencana yang disiarkan baru-baru ini, yang menegaskan betapa mustahaknya masyarakat antarabangsa memanfaatkan semangat bersinergi dalam perjuangan melawan ancaman koronavirus bagi mengelakkan kesilapan sama diulang di negara-negara yang lebih mudah terjejas. 

Pada sidang kemuncak khas Kumpulan 20 (G20) mengenai COVID-19 yang berlangsung secara atas talian baru-baru ini, pemimpin China menyeru masyarakat antarabangsa memperkasakan kerjasama, dengan mengemukakan empat inisiatif bagi memastikan perjuangan ini berakhir dengan kemenangan. Inisiatif tersebut menyuntik keyakinan terhadap kerjasama antarabangsa untuk melawan wabak. 

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus pernah menzahirkan rasa kesal melihat banyak negara gagal membuat persiapan dan mengambil tindakan yang perlu dalam masa lebih dua bulan semenjak munculnya koronavirus baharu itu. Dengan itu, terbazirlah peluang pertama untuk mengekang pemerebakannya. Beliau menyeru semua negara bertindak lebih aktif agar peluang kedua ini tidak disia-siakan juga. 

Konsensus yang dicapai dalam sidang kemuncak khas G20 kali ini nescaya membantu masyarakat antarabangsa merebut peluang kedua ini. 

Pada masa ini, hala tuju kerjasama sejagat untuk melawan wabak telah ditetapkan dengan jelas, dan pelaksanaan sepenuhnya hasil sidang kemuncak berkenaan menjadi kunci bagi memenangi perjuangan melawan wabak. 

王瑾