STAR Market Pacu Inovasi

2020-07-23 12:12:52  CRI
Share with:

Genaplah setahun sejak Papan Inovasi Sains dan Teknologi atau juga dikenali sebagai STAR Market, dilancarkan di Bursa Saham Shanghai. Dalam setahun lalu, sebanyak 133 syarikat telah disenaraikan dalam papan tersebut, dengan nilai keseluruhan yang melebihi RMB2.62 trilion (RM1.59 trilion).

 

Selain membantu menyediakan saluran pembiayaan langsung kepada pengusaha teknologi tinggi serta yang berkecimpung dalam industri-industri baharu bersifat strategik, STAR Market juga dianggap memainkan peranan penting dalam merintis pembaharuan pasaran modal China dan memacu pembangunan berkualiti ekonomi, sekali gus menyuntik penggerak kepada pertumbuhan global.

 

Sebagai satu langkah inovatif baharu, sistem tawaran awam awal (IPO) yang berteraskan ketelusan maklumat telah diperkenalkan di STAR Market. Kaedah baharu ini bermakna syarikat tidak lagi perlu menunggu giliran untuk IPO, dan pengusaha yang berdaya saing dan berpotensi lebih mudah memperoleh dana yang diperlukan untuk berkembang maju.

 

Sains dan teknologi kunci untuk mengatasi cabaran. Semasa bersimposium dengan para usahawan pada 21 Julai, Presiden Xi Jinping juga menegaskan inovasi sains dan teknologi perlu diperkasakan demi mewujudkan kelebihan baharu bagi menjana pembangunan pada masa depan.

 

Tahun ini juga genap 30 tahun sejak penubuhan pasaran modal China. STAR Market yang beroperasi dengan mantap bukan sahaja membantu menggalakkan pembaharuan pasaran modal China, tetapi juga kondusif bagi membawa ekonomi dunia keluar dari kelembapan.

張哲