Pompeo, Penghasut Sentimen Perang Dingin

2020-07-28 13:27:07  CRI
Share with:

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo telah menggambarkan dasar Washington berkaitan China dalam separuh abad lalu sebagai suatu “kegagalan”.

Sewaktu berucap di Perpustakaan Presiden Richard Nixon baru-baru ini, Pompeo mengheboh-hebohkan “ancaman China”, sambil menggesa AS dan sekutunya mengambil “langkah lebih radikal” untuk mengubah China.

Penghasut sentimen Perang Dingin ini ternyatalah satu ancaman besar bagi keamanan dunia.

Dua hari lalu, akhbar The Washington Post menyiarkan rencana tulisan presiden Majlis Hubungan Luar AS, Richard Haass yang mengatakan ujaran Pompeo itu menunjukkan ia “tidak memahami sejarah, mahupun China dan AS”. Katanya, jika dibandingkan dengan mana-mana hubungan bilateral lain, hubungan China-AS lebih mampu menetapkan hala tuju zaman ini. Pompeo bagaimanapun gagal merumuskan sebarang dasar yang sesuai, sebaliknya mendedahkan ia sebenarnya salah faham akan sejarah.

Diplomat kanan Washington itu mencurigai segala aspek komunikasi dan kerjasama normal dengan China, menuduh China mengaut keuntungan berlebihan daripada AS. Sama ada perlakuannya itu wajar ataupun tidak boleh dilihat daripada pelbagai aspek hubungan dua hala, misalnya pelaburan. Dari satu segi, syarikat asing termasuk dari AS dapat menikmati agihan faktor pengeluaran pada harga berpatutan apabila mereka menanam modal di China. Pada masa yang sama, produk buatan China telah mengurangkan paras inflasi global, yang sama menguntungkan pengguna dan pelabur. Jelaslah bahawa China bukannya “ancaman terhadap gaya hidup Amerika” seperti yang didakwa Pompeo, sebaliknya yang menjamin gaya hidup tersebut.

Cubaan Pompeo untuk memulaukan China dari dunia dengan mencetuskan konfrontasi tidak selari dengan kepentingan teras rakyat seluruh dunia termasuk AS, dan telah dikritik pedas oleh pendapat umum antarabangsa. Profesor Jeffrey Sachs, ahli ekonomi yang juga ketua Pusat Pembangunan Mampan Universiti Columbia, bertegas bahawa Perang Dingin yang ingin dilancarkan AS terhadap China akan membawa ancaman lebih besar daripada wabak koronavirus.

曹捷