Tuduhan AS Sudah Basi

2020-07-30 14:01:26  CRI
Share with:

Pegawai-pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) kebelakangan ini menuduh pula China kononnya mencuri harta intelek milik negara mereka, dan inilah sebabnya Konsulat Jeneral China di Houston diarahkan ditutup.

Bukan sahaja Setiausaha Negara Mike Pompeo yang sama mendakwa pelajar dan pekerja dari China menyimpan motif tertentu dengan berada di AS, malah Pengarah Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Christopher Wray dan penasihat keselamatan negara Robert C. O' Brien juga telah membuat kenyataan bernada sama.

Pada hakikatnya, tuduhan seumpama sudahpun basi. Jika pergeseran dagangan dengan China sebelum ini dicetuskan mereka atas pertimbangan kepentingan ekonomi, provokasi Washington kali ini boleh dikatakan langkah seterusnya untuk menghasut antagonisme menyeluruh terhadap China dengan mempolitikkan isu perlindungan harta intelek.

Namun, tuduhan tanpa bukti sudah pasti dipersoalkan dan mengundang kritikan. Seawal hujung Jun tahun lepas, banyak syarikat domestiknya menyifatkan tarif tambahan terhadap produk China sebagai suatu kesilapan. Selepas Washington tiba-tiba mengarahkan penutupan Konsulat Jeneral China, media tempatan mengulas bahawa alasan yang diberikan itu diragui, dan tindakan tersebut semata-mata untuk mengalihkan tumpuan rakyat daripada kegagalan mereka membendung wabak selain mahu mendapatkan sokongan pengundi.

Kerisauan politikus AS yang hanya tahu bercatur mainan campur-tolak nampaknya makin menjadi-jadi sejajar dengan meningkatnya kekuatan komprehensif China dalam sains dan teknologi. Bagi mengekalkan hegemoni sendiri, Washington menuduh China mencuri teknologi AS dan melancarkan sekatan terhadap syarikat China atas alasan yang bukan-bukan.

Namun, menurut laporan kumpulan pemikir Marco Polo kendalian Institut Paulson pada Jun lalu, universiti China telah melatih hampir sepertiga bakat bagi institusi-institusi penyelidikan AS. Maka, kedudukan AS terutama sekali dalam pembangunan teknologi kecerdasan buatan (AI) berkait rapat dengan aliran bakat dari China. 

Profesor Ezra Feivel Vogel dari Universiti Harvard pula memberi amaran bahawa tindakan menghalang pertukaran sosiobudaya dengan China akan menjejaskan kepentingan AS sendiri.

曹捷