Tiada Ruang untuk Terus Kambing Hitamkan China

2020-08-07 13:58:36  CRI
Share with:

Tiada Ruang untuk Terus Kambing Hitamkan China_fororder_1596768923239_753_709x329

Ketua editor jurnal perubatan The Lancet telah membidas suara-suara yang mencela China dalam isu koronavirus sebagai 'tidak senada dengan realiti'.

Richard Horton dalam lidah pengarang yang disiarkan The Guardian Selasa lepas, menyatakan mereka ini hendak cuba menyalahkan China atas wabak COVID-19 untuk menulis semula sejarah dan menutup kegagalan pihak sendiri.

Katanya, politikus Barat dikepalai kerajaan Amerika Syarikat (AS) makin kuat mencemar nama baik China, padahal saintis negara ini telah memberikan sumbangan yang cukup besar kepada respons sejagat terhadap wabak COVID-19.

Horton yang juga seorang profesor kehormat di Sekolah Kebersihan dan Perubatan Tropika London, yakin bahawa seluruh dunia sudah jelas melihat niat AS untuk mengambinghitamkan China atas kegagalannya sendiri. Namun, berdepan situasi wabak yang kian memburuk serta tekanan yang makin memuncak menjelang pilihan raya, Washington tiada jalan lain kecuali bermain taktik lama. Akibatnya, 'virus China' yang dicanang-canang setiap kali tiba peluang.

Pada hakikatnya, kenyataan yang rasis sifatnya ini telah berkali-kali dibuktikan salah oleh sains. Namun, politikus AS menutup mata kepada sains, dan meneruskan percaturan basi yang hanya mendedahkan kebimbangan dan kesilapan strategik sendiri gara-gara hanya memikirkan kepentingan politik. Ada yang bahkan mencari jalan untuk melancarkan satu 'perang dingin baharu'.

Daripada mengada-adakan teori konspirasi mengenai asal usul virus, hinggalah menuduh China mencuri teknologi vaksin koronavirus, cukup membimbangkan apabila dasar Washington terhadap Beijing tampaknya dikawal sesetengah politikus yang gelap fikiran.

Seperti yang ditulis Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dalam rencananya baru-baru ini, 'memang lazim untuk kuasa-kuasa besar bersaing, namun kemampuan mereka untuk bekerjasama barulah ujian sebenar terhadap tadbir urus negara'.

China dan AS selaku dua negara besar sepatutnya memikul tanggungjawab masing-masing dalam membendung wabak selain menjana semula ekonomi. Politikus AS yang berkenaan dinasihatkan supaya membetulkan tanggapan, berhenti memburukkan China, dan kembali ke landasan dialog dan kerjasama. Sebarang cubaan untuk mengapi-apikan konflik dan konfrontasi sudah pasti gagal, dan sesiapa yang berniat mencetuskan 'perang dingin baharu' sudah tentulah hitam namanya dalam lipatan sejarah.

覃淼