"Pembela Hak Asasi" Sekadar Bohong

2020-11-12 14:47:10  CRI
Share with:

Amerika Syarikat (AS) yang sentiasa mendakwa dirinya “pembela hak asasi" mendapat malu di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) apabila rekod pelaksanaan hak asasi di negara itu dipersoalkan oleh lebih 110 buah negara pada Majlis Hak Asasi Manusia PBB (UNHRC), Isnin lalu.

Pada masa sama, negara tersebut masih terjebak dalam situasi wabak yang kritikal, dengan merekodkan kes jangkitan melebihi 10 juta sejak penularan COVID-19 sekali gus mencatatkan jumlah kumulatif kematian hampir 240,000.

Selaku sebuah kuasa yang paling maju dalam ekonomi, teknologi dan perubatan, mengapakah AS tetap menjadi mangsa yang paling teruk terjejas akibat COVID-19? Dan mengapakah hak-hak asas rakyatnya terancam dan dicabul?

Sebenarnya, persoalan tersebut mudah dirungkai sekiranya meneliti tingkah laku politikus dari negara itu yang lebih mengutamakan populariti dan kepentingan diri mereka berbanding nyawa rakyat. Merekalah yang bukan sahaja mengambil sikap endah tak endah terhadap amaran saintifik, malah sering kali mempolitikkan isu COVID-19 dengan mempersalahkan pihak lain ataupun mencari kambing hitam. Selain itu, mereka menolak saranan pakar dan melonggarkan langkah-langkah kawalan wabak hanya untuk mengejar kepentingan. Kelalaian mereka dalam mengendalikan wabak hingga menyebabkan kemalangan, sepertimana yang disebut dalam laporan Washington Post bahawa itulah pembunuhan yang dibenarkan negara.

AS mengabaikan masalah hak asasi domestik, sebaliknya tampil di setiap pelosok dunia dengan membawakan malapetaka kemanusiaan, khususnya sekatan menyasar Iran yang menyebabkan rakyat negara Asia Barat itu terhimpit kesusahan dalam senario COVID-19 masih berleluasa.

Di depan mata dunia, tindakan AS tidak lagi selaras dengan percakapannya, yang selalu mendakwa dirinya menghargai dan mempertahankan hak asasi, sebaliknya langsung mencabul dan menginjak-injak hak asasi.

董筱娉