China, Tajikistan Sedia Perkasa Kerjasama

2021-03-02 12:08:29  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping mengadakan perbualan dengan rakan sejawatnya dari Tajikistan, Emomali Rahmon menerusi telefon pada Isnin.

Xi berkata bahawa rakyat kedua-dua negara berganding bahu dan bekerjasama rapat ketika mendepani penularan pandemik COVID-19 dan perubahan di lingkungan sejagat.

Kerjasama dua hala dalam pelbagai bidang membuahkan hasil yang memberangsangkan, khususnya dalam usaha memerangi wabak.

Dalam pada itu, kedua-dua pihak hendaklah memperkasakan lagi kerjasama melibatkan ekonomi, perdagangan, pelaburan, pertanian, kesalinghubungan dan ekonomi digital secara bersepadu, di samping memberikan keutamaan kepada pelaksanaan projek-projek penting di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Beliau turut menyatakan kesediaan China untuk mengimport lebih banyak produk pertanian berkualiti dari Tajikistan, dan menghulurkan bantuan vaksin COVID-19 kepada negara itu.

Rahmon menyanjung tinggi sumbangan China kepada usaha masyarakat antarabangsa melawan pandemik COVID-19.

Katanya, Tajikistan bersedia terus memperluas kerjasama dengan China dalam bidang politik, ekonomi, keselamatan dan sosiobudaya bagi mendorong perkembangan hubungan antara kedua-dua negara.

張哲