China Promosi Penggunaan BDS untuk Pasaran Global

2021-03-05 12:07:23  CRI
Share with:

China akan terus memperbaiki sistem Satelit Navigasi BeiDou (BDS) dan mempromosikan penggunaannya dalam pelbagai industri dan pasaran global.

Pejabat Pengurusan Sistem Navigasi Satelit China pada Khamis menyatakan bahawa Sistem Satelit Navigasi BeiDou-3 telah beroperasi dengan stabil selain turut menyediakan perkhidmatan berkualiti tinggi untuk pengguna global sejak dilancarkan secara rasmi pada 31 Julai tahun lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan, sistem BDS dikatakan dapat memenuhi standard industri yang tinggi dalam bidang penentuan kedudukan, pengukuran kelajuan dan ketepatan waktu, serta ketersediaan dan kelangsungan perkhidmatannya seperti yang terpamer dalam sistem penilaian dan pemantauan.

Dalam pada itu, turut dimaklumkan bahawa jabatan yang berkaitan kini sedang mengambil langkah-langkah berkesan untuk meningkatkan kemampuan pekerja.

Jelas jabatan itu, ia bertujuan untuk memastikan pengoperasian sistem BDS dengan kebolehpercayaan, keselamatan dan kualiti yang tinggi.

Pada masa sama, jabatan-jabatan yang berkaitan turut menjadikan pembangunan industri yang berkaitan dengan BDS sebagai projek penting dalam Rancangan Lima Tahun ke-14 Pembangunan Sosioekonomi Kebangsaan.

Sementara itu, China juga akan menggalakkan pembangunan sistem penentuan kedudukan, navigasi dan pemasaan (PNT) negara yang pragmatik.

Menurut rancangan, sistem PNT yang lebih luas, berintegrasi dan cerdas akan siap dibina menjelang tahun 2035.

Dimaklumkan, matlamat jangka panjang adalah untuk menawarkan infrastruktur perkhidmatan yang merangkumi laut, darat, udara dan angkasa lepas yang dapat memenuhi standard dan taraf industri yang tinggi

曹捷