SCO, Teladan Baik Hubungan Antarabangsa Model Baharu

2021-06-16 14:48:08  CRI
Share with:

Selepas dua dekad bergelar organisasi rantau, Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) berkembang hingga mempunyai lapan negara anggota, empat negara pemerhati dan enam rakan dialog.

Selain membantu memelihara kedamaian dan menggerakkan pembangunan rantau, pertubuhan itu telah pun memberikan contoh yang baik kepada dunia dalam mendukung amalan multilateralisme dan mendorong pendemokrasian perhubungan antarabangsa.

Sebagai contoh, dalam bidang kerjasama keselamatan, siri konvensyen antikeganasan dimuktamadkan SCO, manakala latihan bersama “Misi Damai” dilancarkan sebanyak sepuluh kali, yang turut banyak menyumbang kepada kedamaian dan kestabilan rantau.

Dalam bidang ekonomi dan perdagangan pula, jumlah keseluruhan import dan eksport China dengan anggota lain pertubuhan berkenaan menokok kepada USD244.85 bilion (RM1 trilion) berbanding USD17.14 bilion (RM70.61 bilion) dicatat sejak awal lagi.

Dengan adanya peluang kerjasama susulan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), ikatan sesama anggota pertubuhan tersebut bertambah kukuh hingga menjadi komuniti berkongsi pembangunan.

Lebih penting lagi, SCO sentiasa menyokong dan mengamalkan multilateralisme, di samping menunjukkan teladan baik dalam penjalinan hubungan antarabangsa model baharu berprinsipkan saling hormat, saksama dan adil serta saling untung.

Pertubuhan itu komited mempertahankan dasar berkecuali, tidak berkonfrontasi dan tidak menyasarkan pihak ketiga, sekali gus menggerakkan order antarabangsa ke arah lebih adil dan rasional.

Pegangan lain yang diteguhkannya termasuk menyokong komunikasi sesama tamadun berbeza serta peranan dimainkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

董筱娉