Pelobian Biden Tidak Dilayan Eropah

2021-06-19 16:21:47  CRI
Share with:

Presiden AS, Joe Biden melobi membentuk perikatan "nilai demokratik" untuk melawan China ketika melawat Eropah akhir-akhir ini.

Namun pujukan Biden gagal mendapat sambutan daripada pemimpin negara-negara Eropah.

Canselor Jerman, Angela Merkel dalam tempoh Sidang Kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) berkata, pelan penyelesaian bagi isu perubahan iklim dan biodiversiti tidak dapat diwujudkan jika China disingkirkan.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron pula berkata secara terus terang bahawa G7 bukanlah kelab yang bermusuhan dengan China.

Walaupun tetap rakan sekutu dalam bidang keselamatan, namun sudah muncul banyak percanggahan antara Kesatuan Eropah (EU) dan AS.

Kedua-dua pihak mempunyai hala tuju strategi yang berbeza. Kepentingan EU akan terjejas jika mengikut telunjuk AS melawan China dalam bidang infrastruktur dan teknologi. Ia juga tidak selaras dengan aspirasi EU untuk menjalankan kolaborasi dengan China.

Selain itu, EU dan AS mempunyai kepentingan asas yang berlainan. Sepertimana yang dijelaskan dalam akhbar Les Echos, Perancis baru-baru ini, EU tidak seharusnya menyokong amalan menentang Beijing. Ini kerana China telah memintasi AS menjadi rakan dagang paling besar bagi Eropah pada tahun lepas, di samping memainkan peranan penting dalam usaha menangani perubahan iklim global.

Oleh itu, perikatan "nilai demokratik" yang dilobi Biden tidak selaras dengan strategi dan kepentingan Eropah. Perkara yang lebih penting adalah cubaan AS membentuk kumpulan politik berdasarkan ideologi jelasnya membelakangi arus sezaman yang menjunjung multipolar dalam hubungan antarabangsa.

張哲