Cari:
Makanan Tradisional China
2017-12-11 13:36:58 CRI Cetak

oleh Puteri Sabira

Negara China dikenali sebagai suatu negara yang mempunyai pelbagai makanan yang enak dan lazat. Setiap provinsi mempunyai makanan khas atau traditional yang patut dicuba kerana rasa makanan pada setiap provinsi amat berbeza disebabkan kedudukan geografik serta kebudayaan.

Di sini, saya sempat menikmati makanan tradisional rakyat China seperti Cakoi, tau fu fah, pau dan wantan sup. Makanan yang disebutkan biasanya disajikan pada waktu pagi. Cakoi atau dalam bahasa Mandarin disebut sebagai Youtiao, ia juga dikenali dibahagian utara dan selatan China sebagai guozi. Cakoi ini biasanya dimakan dengan bubur pada waktu pagi. Pada mulanya saya ingat Cakoi adalah makanan Melayu kerana kuih ini terkenal di Malaysia.

Cakoi bukanlah satu makanan atau masakan yang tulen datang dari kalangan Melayu, ia tercetus dari kedatangan orang-orang Cina, serta orang Siam yang datang ke Malaysia. Namun, cakoi dimakan oleh orang Melayu bukan ketika sarapan, ia banyak didapati dijual oleh penjual gerai jalanan dan pasar pada waktu petang. Cakoi bagi kalangan Melayu, kebanyakkannya dimakan ketika waktu petang dan ia dicicah dengan kuah kacang cair. Saya selalu membeli cakoi ini di gerai jalanan di pinggir kota Kuala Lumpur.

Tau fu fah pula ialah sejenis pencuci mulut yang dibuat daripada tauhu yang sangat lembut. Tau fu fah mula dicetus pada zaman purba iaitu Dinasti Han. Tau fu fah ini boleh dimakan sejuk atau panas, dan apabila tiba di bulan Ramadhan di Malaysia, Tau fu fah adalah pencuci mulut yang paling digemari dan dijual di pasar dan bazar untuk juadah berbuka puasa.

Di China, Tau fu fah dimakan pada waktu pagi, dan dibuat dengan berbagai cita rasa sendiri.

Kuih Pau juga dikenali sebagai bāozi amat dikenali di Malaysia. Pau merupakan sejenis kuih yang dibuat daripada tepung dan yis, serta mempunyai inti di dalam. Di Malaysia, inti pau ialah daging, ayam, kari, kaya dan kacang hitam. Pau di Malaysia boleh dimasak dengan kukus, goreng serta bakar. Pau selalu dihidangkan panas-panas dan selalu disajikan pada waktu petang dengan air kopi.

Di China, terdapat pelbagai variasi pau antaranya, xiâolòngbāo iaitu pau kecil yang berintikan daging yang menyerupai dumpling. Shēngjiān mántaó pula merupakan pau kecil yang digoreng berintikan daging dari Shanghai.

Manakala, tāngbāo pula merupakan pau bersaiz besar berintikan sup yang pekat. Terdapat juga pau yang berintikan pes kacang merah, pes benih teratai, kastard kuning, dan pau yang berintikan rempah, daging, ayam serta sayur.

Dalam budaya masyarakat Tiong Hua, bāozi ini adalah merupakan makanan yang popular dan senang didapati. Ianya juga boleh dimakan pada bila-bila masa dan turut dijadikan snek.

Selama lima bulan saya di Beijing, makanan di China dan Malaysia mempunyai sedikit persamaan, tetapi kemungkinan dari teknik memasak ada perbezaan.

Saya berharap untuk mengembara ke provinsi yang lain untuk mencuba makanan traditional yang berbeza dari segi citarasa.

Lihat juga
   Webradio
Siaran Bahasa Melayu:
Jadual Siaran

• Burung Sambut Ketibaan Musim Bunga

• Pemandangan Lautan Awan Seindah Lukisan
Lagi>>
© China Radio International.CRI. All Rights Reserved.
16A Shijingshan Road, Beijing, China